Sunday, May 27, 2007

Diantara Kaca & Permata


Kaca, kita akan membuangnya, tapi sekiranya permata sebagai gantinya, sudah tentu ramai yang akan merebut dan menyimpannya. Kenapa? Kerana kita tahu membezakan antara kaca dan permata itu yang manakah yang lebih bernilai.

Allah menjadikan makhluk di bumi ini masing-masing ada pasangannya. Termasuk kita yang bergelar manusia iaitu antara lelaki dan perempuan. Dan pada masa yang sama juga Allah memberikan kepada kita kitab panduannya untuk kita mengikuti pesanan di dalam kitab tersebut agar kita ini menjadi makhluk yang dipandang mulia oleh Allah.

Diantara pesanan itu adalah ia menyuruh kita agar memelihara kehormatan diri kita dengan menutup aurat. Aurat bagi lelaki sebagaimana pembaca sendiri tahu iaitu antara pusat hingga lutut. Manakala bagi perempuan adalah keseluruhannya kecuali muka dan tapak tangan.

Kenapa aurat perempuan lebih banyak harus ditutup berbanding lelaki? Buruk sangatkah perempuan ini sehingga semuanya wajib ditutup kecuali muka dan tapak tangan? Sedangkan lelaki hanya pusat hingga lutut.!!

Fahamilah wahai pembaca yang budiman. Disana terdapat perbezaan antara lelaki dan perempuan. Bagi seorang perempuan itu, bermula dari hujung rambut hingga ke hujung kaki adalah merupakan perhiasan bagi dirinya. Dan merupakan tarikan bagi kaum lelaki. Maka sebab itu mereka harus menutup perhiasan dirinya itu daripada dilihat oleh orang kebanyakan. Perhiasan itu adalah untuk dilihat oleh orang yang tertentu sahaja. Ia bukanlah untuk tontonan umum tetapi dikhaskan untuk suami dan keluarga mereka yang diizinkan oleh Syara’ sahaja.

Di dalam ayat Quran itu sendiri terkandung suruhan yang mewajibkan setiap perempuan yang beriman agar mereka menutup aurat dengan sempurna. Bukannya separuh-separuh seperti bertudung tetapi berpakaian ketat.
Firman Allah di dalam surah al-Ahzab ayat yang ke 59 maksudnya:Wahai nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup aurat seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) , cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak akan diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah amat pengampun lagi amat mengasihani.

Sekiranya kita perhatikan keadaan disekeliling pada hari ini, ramai perempuan sudah kehilangan harga diri dan menjatuhkan ketinggian martabatnya yang diangkat tinggi oleh Allah sendiri. Mereka berpakaian tetapi tidak berpakaian. Walaupun terdapat pakaian di badannya, tetapi pakaian mereka bercorak jarang dan ketat yang menzahirkan perhiasan diri mereka, menyebabkan orang ramai dapat melihat bentuk fizikal badannya. Mereka gagal memahami tentang keistimewaan diri mereka yang harus dijaga sebaik mungkin. Mereka menjadikan diri mereka sebagai perempuan murahan kerana mereka membiarkan tubuh badan serta perhiasan diri mereka sebagai bahan tontonan umum.

Andai pembaca adalah seorang lelaki, maka bezakanlah yang mana lebih bernilai, samada yang murahan seperti kaca yang mudah dijumpai dan tidak diperlukan oleh semua orang, atau seperti permata yang mempunyai nilai yang begitu tinggi yang sukar diperolehi tidak sebagaimana kaca yang bersepah di tepi jalan.

Andai pembaca adalah seorang perempuan, renungkanlah, keadaan bagaimana yang saudari mahukan untuk diri saudari. Bukan setakat tubuh badan saudari sahaja yang menjadi perhiasan, bahkan suara saudari yang merdu dan lunak yang bersifat abstrak itu juga adalah perhiasan yang membuatkan orang lain akan jatuh hati. So, letakkanlah perhiasan itu pada tempatnya yang tinggi dan tidak boleh dilihat oleh semua orang kecuali yang tertentu sahaja. Kerana terdapat sabda Rasulullah mafhumnya: Sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah. Iaitu wanita yang patuh dan taat pada ajaran agamanya serta menjauhi segala yang dilarang oleh agamanya.

Semoga kita mendapat rahmat dari Allah. Amin.

Sekian..

No comments:

Post a Comment