Thursday, May 17, 2007

Tafsir Mimpi



Mimpi ada asasnya dalam Islam. Surah Yusuf dalam Al-Quran memaparkan kisah-kisah indah yang berkisar di sekitar mimpi. Bahkan mimpi-mimpi dalam surah tersebut menceritakan tentang aspek-aspek pencapaian maksud mimpi itu di tiga peringkat; iaitu jangka masa panjang, jangka masa sederhana dan jangka masa pendek.

Seiring dengan itu, Surah Yusuf juga menggambarkan bahawa tahap-tahap mimpi adalah berkadar dengan martabat kemuliaan seseorang insan. Al-Quran menceritakan bagaimana Nabi Yusuf yang masih remaja memberitahu bapanya, Nabi Ya'qub, tentang mimpinya. Dalam mimpi itu, Yusuf melihat sebelas buah bintang dan bulan serta matahari semuanya sujud tunduk kepadanya.

Surah Yusuf juga menceritakan bagaimana Nabi Yusuf mentafsirkan mimpi raja yang melihat tujuh sapi gemuk memakan tujuh sapi kurus dan juga tujuh tangkai gandum hijau dengan tujuh tangkai gandum yang kering.


Selain itu Surah Yusuf juga menceritakan bagaimana Nabi Yusuf mentafsirkan mimpi dua orang temannya dalam penjara di mana seorang bermimpi memerah anggur sedangkan seorang lagi bermimpi membawa roti di kepalanya dengan sebahagiannya dimakan oleh burung.


Al-Quran menjelaskan bahawa mimpi Yusuf ditafsirkan oleh Nabi Ya'qub sebagai tanda kemuliaan dan kekuasaan yang bakal dimiliki oleh anaknya itu dalam hidupnya kelak. Tafsir itu kemudiannya terbukti setelah melalui pelbagai ranjau dan dugaan dalam hidupnya, Nabi Yusuf akhirnya dianugerahkan Allah dengan kekuasan dan pemerintahan seluruh bumi Mesir.Sesuai dengan martabat kemuliaan seorang nabi, mimpi Nabi Yusuf mengambil satu jangka masa yang panjang untuk direalisasikan. Terdapat riwayat yang menyatakan Nabi Yusuf berada di atas takhta kekuasan dengan memerintah secara adil selama 65 tahun!

Tentang mimpi raja, Nabi Yusuf mentafsirkan sebagai musim pertanian dan bercucuk tanam yang subur dan gemilang selama tujuh tahun di mana ianya akan diikuti dengan musim kemarau selama tujuh tahun. Selepas tujuh tahun kemarau barulah hujan akan turun dan bumi menjadi subur semula bagi membolehkan segala jenis hasil tanaman dinikmati oleh seluruh rakyat.Demikianlah sesuai dengan martabat kemulian seorang raja, mimpi raja mengambil jangka masa yang sederhana, iaitu 15 tahun untuk direalisasikan sepenuhnya.

Berkenaan mimpi dua orang sahabatnya di dalam penjara, Nabi Yusuf mentafsirkan bahawa seorang akan dibebaskan dan dilantik menjadi pelayan raja sedangkan seorang lagi akan dihukum bunuh dengan disalib lalu burung memakan sebahagian daripada kepalanya. Apa yang ditafsirkan oleh Nabi Yusuf ternyata benar-benar berlaku tidak lama sesudah itu.Sesuai dengan kedudukan rakyat awam, mimpi mereka berdua mengambil jangka masa yang pendek untuk direalisasikan.

Tafsir-tafsir mimpi ini menunjukkan bahawa lebih mulia dan suci jiwa seseorang itu maka lebih menjangkau jauh dan lebih besar pengertiannya terhadap apa yang terkandung dalam mimpi yang dialaminya.

Ibn Sirin adalah seorang ahli hadith. Beliau mendalami secara teliti dan terperinci segala ibarat yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Berdasarkan ibarat-ibarat inilah sesuatu mimpi ditafsirkannya. Menurut Ibn Sirin, di samping panduan daripada ibarat-ibarat yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah, tafsir sesuatu mimpi itu juga bergantung kepada bila mimpi tersebut dialami. Mimpi yang paling menepati kebenaran dalam realiti kehidupan adalah mimpi yang dialami menjelang masuknya waktu subuh dan juga mimpi pada waktu tengahari. Namun mimpi yang dialami pada waktu malam adalah lebih kuat daripada yang dialami pada waktu siang. Ibn Sirin juga menjelaskan bahawa mimpi yang ringkas dan padat adalah mimpi yang lebih pantas hakikat sebenarnya berlaku dalam realiti kehidupan.

Selain itu, Ibn Sirin juga menjelaskan kejernihan jiwa dan kekuatan rohani seseorang itu akan menjadikan mimpi yang dilaluinya paling hampir menepati realiti dalam satu jangka masa yang terdekat.

Selain daripada buku Ibn Sirin terdapat penjelasan Ibn Khaldun tentang mimpi dalam bukunya, Muqaddimah. Ibn Khaldun menjelaskan selain mimpi yang benar dan juga mimpi yang dipengaruhi oleh syaitan, terdapat juga mimpi disebabkan fikiran dan perasaan seseorang yang terlalu tertumpu kepada sesuatu perkara pada waktu berjaganya.Ibn Khaldun menghuraikan dengan panjang lebar sifat-sifat mimpi seumpama ini dan menghuraikannya sebab-sebab mengapa ia berlaku sesuai dengan tahap pemikiran manusia pada zamannya.

No comments:

Post a Comment