Monday, December 10, 2007

REMAJA DAN KEHIDUPAN

Bermula ujian tuhan apabila dia mencapai usia baligh. Setiap perbuatannya akan dihitung dan dinilai oleh Allah. Usia remaja merupakan usia dimana manusia itu mengalami perubahan fizikal dan juga pemikiran, yang mula mencari identiti diri, siapakah sebenarnya dia?

Mencuba sesuatu yang baru, memenuhi segala yang diingini oleh nafsu, serta bertindak tanpa memikirkan akibatnya adalah merupakan ciri-ciri mereka yang berada pada awal usia untuk mematangkan diri.

Terkadang mereka terpaksa bermain dengan persoalan-persoalan yang sentiasa timbul difikiran berpunca daripada keinginan untuk tahu terhadap keadaan yang mereka alami dalam kehidupan seharian. Kebanyakkan persoalan tersebut tidak dapat memuaskan hati mereka kerana sukar untuk mencari jawapan yang sesuai yang boleh menenangkan mereka untuk menerima hakikat keadaan yang terjadi dalam kehidupan yang mereka alami.

Dalam keadaan tersebut, peranan ibubapa amat penting untuk membimbing anak-anak mereka apabila sampai pada saat ini. Kerana ia merupakan masa peralihan seorang anak kepada usia yang lebih matang yang merupakan proses yang perlu diberikan perhatian. Ajak berbincang, menghormati pandangan mereka, menyelami masalah mereka, menyokong mereka dalam keadaan mereka memerlukan sokongan untuk mendapatkan kekuatan adalah diantara usaha yang perlu dilakukan oleh ibubapa. Disinilah betapa pentingnya kepada ibubapa untuk memiliki ilmu secukupnya untuk mendidik anak-anak mereka agar membesar dengan cara yang sihat dan sewajarnya, seterusnya dapat mengelakkan serta menjauhi mereka daripada terjebak kedalam gejala sosial yang boleh merosakkan diri mereka kelak.

Agama adalah tunggak asas untuk membimbing remaja kerana apabila mereka diasuh dan diberikan didikan agama, mereka akan mempunyai kekuatan dan keyakinan terhadap segala yang mereka hadapi dalam setiap mehnah, kesusahan, keperitan, ketakutan dan kesukaran dalam menjalani kehidupan di dunia. Andaikata jiwa remaja yang sedang matang itu tidak diasuh dengan cara sedemikian, bagaimana mereka boleh bertahan terutamanya diusia tersebut yang begitu kuat sekali ujiannya. Mereka tidak mengenali lagi apa itu mujahadah, apakah tujuan kehidupan mereka, siapa tempat sewajarnya mereka bergantung harap, dan banyak lagi yang mereka perlukan untuk mereka selamat di dunia dan akhirat serta menjadi orang yang begitu faham akan hakikat kehidupan mereka di saat ini.

Inilah saat kehidupan yang akan dilalui oleh setiap manusia apabila mereka menjadi remaja. Di dalam saat dan waktu tersebut, pelbagai perkara baru yang akan dirasai dan dialami oleh setiap remaja yang membuatnya suka kepada enjoy setiap masa. Tanpa ada bimbingan daripada mereka yang tertentu, kita dapat melihat kesan negatifnya pada hari ini di sekitar masyarakat yang berhampiran dengan kita. Betapa rosak mereka kerana akal sudah tidak lagi dibimbimng serta ditemani pula oleh desakan nafsu yang tidak ada kesudahannya walaupun kita mencapai usia tua. Inilah pengalaman yang dilalui dengan memerhatikan ke dalam diri sendiri serta melihat ragam dan gelagat rakan-rakan sama ada yang baik, sangat baik, nakal, jahat, dan banyak lagi. Lihatlah dengan mata kasar, membawa ke mata hati, sebagai iktibar dan pengajaran, seterusnya perubahan kepada diri sendiri kearah yang lebih baik.

Friday, November 9, 2007

HUJUNG AKAL PANGKAL AGAMA

Terdapat seorang pelajar yang pintar , semua guru menyukainya terutama guru sains yang selalu memujinya kerana dia adalah paling bijak dan boleh memberikan jawapan yang tepat apabila disoal di dalam kelas. Apabila pulang dari sekolah, pelajar tersebut menceritakan hal itu kepada bapanya.

Suatu hari, bapanya membawanya ke tepi pantai, lalu bapanya bertanya, dari mana datangnya air laut ini?, lalu anaknya menjawab dari sungai, kemudian ditanya lagi, dari mana air sungai itu datang?, jawabnya dari mata air yang keluar dari celah-celah bukit, kemudian ditanya lagi, dari mana asal mata air itu?, jawabnya dari air hujan yang turun ke bumi kemudian meresap ke dalam bumi, kemudian ditanya lagi, bagaimana terhasilnya hujan? Jawabnya hasil daripada proses bertukarnya air di bumi kepada wap, kemudian berkumpul membentuk awan, seterusnya apabila berat ia akan mencurah semula ke bumi, kemudia ditanya lagi kepada anaknya? Siapa yang membuat proses itu? Kemudian anaknya terdiam. Lalu ayahnya berkata, hujung akal itu pangkal agama, yang menjadi permulaan untuk kenal penciptanya apabila akal sudah buntu dalam sesuatu perkara. Tuhanlah yang menciptakan segala-galanya dan dari situlah kita mula mengenal tuhan pencipta alam dan merasakan betapa lemahnya diri kita di sisinya.

Berdasarkan kisah tersebut, kita harus tahu bagaimanakah cara atau kaedah terbaik untuk mengajar manusia supaya kenal tuhannya, terutama bagi ibubapa dalam soal mendidik anak-anak. Anak-anak hendaklah dididik semenjak dari kecil lagi untuk mereka mengenali tuhan seterusnya patuh kepada suruhan dan perintah tuhan serta meninggalkan segala larangannya. Ini seterusnya dapat mengurangkan jenayah yang berleluasa pada hari ini yang sememangnya tidak akan dilakukan oleh orang yang takut kepada tuhannya.

(Sempat lagi untukku mengarang blog ni, maklumler, sebagai mengisi masa boring, pasal dah jemu sangat mengadap pelajaran untuk exam )

Thursday, October 4, 2007

AMALAN ZIARAH SESAMA ISLAM

Tinggal beberapa hari saja lagi umat islam akan menyambut Aidilfitri. Kebiasaannya kita akan saling menziarahi sanak saudara untuk merapatkan lagi silaturrahim.


Amalan ziarah semata-mata untuk menghidupkan sunnah Rasulullah terlalu penting di dalam menarik rahmat Allah. Sebagaimana firmannya:

إن رحمة الله قريب من المحسنين (الأعراف – 56)

Maksudnya: sesungguhnya rahmat Allah hampir kepada orang yang melakukan kebaikan.

Adapun ziarah itu hendaklah tujuan utamanya untuk bercakap mengenai agama, iman, amal, dan maksud kehidupan sebagai hamba-hamba Allah. Ini adalah untuk membezakan diantara ziarah orang islam dengan ziarah orang kafir.

Berkata-kata tentang kebaikan adalah lebih baik daripada diam sahaja, dan diam adalah lebih baik daripda berkata-kata yang tidak baik.

Terdapat tiga golongan untuk diziarah:-

1- orang awam:

Kebanyakan orang islam, yang lalai dari tanggungjawab agama serta kebesaran kehidupan akhirat seolah-olah telah lama terpadam dalam sanubari mereka. Ziarah yang dilakukan semata-mata atas dasar memperingati antara satu sama lain tentang agama serta menghubungkan silaturahim dikalangan umat islam. Mengingati manusia tidak semestinya mengajar hukum hakam, tetapi mengingatkan mereka tentang perintah-perintah Allah yang terletak di atas bahu mereka yang perlu mereka laksanakan. Firman Allah dalam surah Az-Zariyat-55 bermaksud: dan tetaplah beri peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.

2- Alim Ulama’ dan orang Soleh:

Tujuannya untuk mendapat ilmu dan doa. Ziarah orang-orang soleh yang bukan ulama’ adalah untuk mendapat manfaat daripada pergaulan. ( nasihat & perbicaraan yang memberi kesan kerohaniaan yang berharga untuk kehidupan dunia dan alam akhirat)

3- Orang sakit: merupakan hak muslim ke atas muslim yang lain & mendapat doa malaikat.