Thursday, October 4, 2007

AMALAN ZIARAH SESAMA ISLAM

Tinggal beberapa hari saja lagi umat islam akan menyambut Aidilfitri. Kebiasaannya kita akan saling menziarahi sanak saudara untuk merapatkan lagi silaturrahim.


Amalan ziarah semata-mata untuk menghidupkan sunnah Rasulullah terlalu penting di dalam menarik rahmat Allah. Sebagaimana firmannya:

إن رحمة الله قريب من المحسنين (الأعراف – 56)

Maksudnya: sesungguhnya rahmat Allah hampir kepada orang yang melakukan kebaikan.

Adapun ziarah itu hendaklah tujuan utamanya untuk bercakap mengenai agama, iman, amal, dan maksud kehidupan sebagai hamba-hamba Allah. Ini adalah untuk membezakan diantara ziarah orang islam dengan ziarah orang kafir.

Berkata-kata tentang kebaikan adalah lebih baik daripada diam sahaja, dan diam adalah lebih baik daripda berkata-kata yang tidak baik.

Terdapat tiga golongan untuk diziarah:-

1- orang awam:

Kebanyakan orang islam, yang lalai dari tanggungjawab agama serta kebesaran kehidupan akhirat seolah-olah telah lama terpadam dalam sanubari mereka. Ziarah yang dilakukan semata-mata atas dasar memperingati antara satu sama lain tentang agama serta menghubungkan silaturahim dikalangan umat islam. Mengingati manusia tidak semestinya mengajar hukum hakam, tetapi mengingatkan mereka tentang perintah-perintah Allah yang terletak di atas bahu mereka yang perlu mereka laksanakan. Firman Allah dalam surah Az-Zariyat-55 bermaksud: dan tetaplah beri peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.

2- Alim Ulama’ dan orang Soleh:

Tujuannya untuk mendapat ilmu dan doa. Ziarah orang-orang soleh yang bukan ulama’ adalah untuk mendapat manfaat daripada pergaulan. ( nasihat & perbicaraan yang memberi kesan kerohaniaan yang berharga untuk kehidupan dunia dan alam akhirat)

3- Orang sakit: merupakan hak muslim ke atas muslim yang lain & mendapat doa malaikat.

Friday, September 14, 2007

HIKMAT MENGINGATI HARI AKHIRAT

Kepercayaan kepada hari akhirat itu menyebabkan hidup kita di dunia ini mempunyai suatu tujuan mulia serta cita-cita yang tinggi. Di sana ada suatu puncak yang hendak kita capai dengan sekuat tenaga yang ada pada diri kita. Tujuan utama ialah mengerjakan kebaikan, meninggalkan kemungakaran, dan segala bentuk kemaksiatan.

Untuk melaksanakan itu semua sudah tentulah perlu adanya pendorong semangat dari jiwanya sendiri yang mengajak supaya selalu melakukan kebaikan-kebaikan itu serta meninggalkan keburukan dan kejahatan. Pendorong semangat itu ialah memperbanyak ingatan kepada tuhan, memberikan peringatan kepada yang berbuat kesalahan, pandai memberikan gambaran serta perumpamaan yang pelbagai, serta tauladan dan pengajaran dari peristiwa yang pernah ada. Usaha ini penting agar tertanam kebaikan di dalam hati, terkesan di dalam jiwa, lebih merealisasikan tujuan yang hendak dicapai.

Dengan melaksanakan semua ini, maka setiap yang ingkar kepada perintah tuhan akan kembali dari kesalahannya, orang yang merasa keliru dapat membetulkan kekeliruannya sendiri dan setiap manusia akan mengarahkan tujuan amalannya yang tertinggi ke jalan yang nyata –nyata kebenarannya, sehingga ia tidak akan tersesat di jalan dan tidak pula tergelincir dalam kesalahan.

Monday, August 20, 2007

ISTIQAMAH

Membina sifat Istiqamah adalah suatu usaha yang berterusan dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini kerana antara amalan yang yang dipuji ialah berterusan melakukan sesuatu perkara walaupun ianya kecil dalam amalan tersebut.

Ini kerana ia menuntut kepada pengamal itu kesungguhan untuk meneruskannya walau dalam keadaan apapun situasi yang dialaminya. Sebagai contoh yang simple, usaha kita untuk sentiasa dalam keadaan berwudhu', walaupun ia perbuatan yang mudah serta agak enteng untuk dilakukan, bagaimana pula usaha kita untuk sentiasa mengekalkannya.
Sekiranya kita memiliki tekad untuk mengamalkannya sepanjang kehidupan kita, mungkin sehari dua kita boleh melaksanakannya, tetapi bila dari tempoh minggu keminggu, bulan kebulan, tahun-ketahun, sudah tentu banyak sekali halangannya termasuklah dilanda perasaan putus asa dan malas yang menjadi penghalang utama.

Sebab itulah Istiqamah ini adalah diantara bentuk-bentuk Karomah (kemuliaan) yang diberikan oleh Allah kepada hambanya yang terpilih. Pada kebiasaannya kita hanya tahu karomah itu seperti berjalan di atas air, masa perjalanan yang disingkatkan oleh Allah (melipat bumi) dan lain-lain yang dianugerahkan kepada walinya atau hamba-hambanya yang terpilih. Sedangkan diantara kekeramatan itu, kemuliaan ataupun karomah yang paling besar ialah anugerah Allah Taala kepada hambanya untuk melakukan sesuatu ibadah secara beterusan (istiqamah) walaupun sedikit.

Semoga kita dapat mencapai tahap tersebut untuk mencapai keredhaan Tuhan duniawi dan ukhrawi. Ameen.