Friday, November 9, 2007

HUJUNG AKAL PANGKAL AGAMA

Terdapat seorang pelajar yang pintar , semua guru menyukainya terutama guru sains yang selalu memujinya kerana dia adalah paling bijak dan boleh memberikan jawapan yang tepat apabila disoal di dalam kelas. Apabila pulang dari sekolah, pelajar tersebut menceritakan hal itu kepada bapanya.

Suatu hari, bapanya membawanya ke tepi pantai, lalu bapanya bertanya, dari mana datangnya air laut ini?, lalu anaknya menjawab dari sungai, kemudian ditanya lagi, dari mana air sungai itu datang?, jawabnya dari mata air yang keluar dari celah-celah bukit, kemudian ditanya lagi, dari mana asal mata air itu?, jawabnya dari air hujan yang turun ke bumi kemudian meresap ke dalam bumi, kemudian ditanya lagi, bagaimana terhasilnya hujan? Jawabnya hasil daripada proses bertukarnya air di bumi kepada wap, kemudian berkumpul membentuk awan, seterusnya apabila berat ia akan mencurah semula ke bumi, kemudia ditanya lagi kepada anaknya? Siapa yang membuat proses itu? Kemudian anaknya terdiam. Lalu ayahnya berkata, hujung akal itu pangkal agama, yang menjadi permulaan untuk kenal penciptanya apabila akal sudah buntu dalam sesuatu perkara. Tuhanlah yang menciptakan segala-galanya dan dari situlah kita mula mengenal tuhan pencipta alam dan merasakan betapa lemahnya diri kita di sisinya.

Berdasarkan kisah tersebut, kita harus tahu bagaimanakah cara atau kaedah terbaik untuk mengajar manusia supaya kenal tuhannya, terutama bagi ibubapa dalam soal mendidik anak-anak. Anak-anak hendaklah dididik semenjak dari kecil lagi untuk mereka mengenali tuhan seterusnya patuh kepada suruhan dan perintah tuhan serta meninggalkan segala larangannya. Ini seterusnya dapat mengurangkan jenayah yang berleluasa pada hari ini yang sememangnya tidak akan dilakukan oleh orang yang takut kepada tuhannya.

(Sempat lagi untukku mengarang blog ni, maklumler, sebagai mengisi masa boring, pasal dah jemu sangat mengadap pelajaran untuk exam )

Thursday, October 4, 2007

AMALAN ZIARAH SESAMA ISLAM

Tinggal beberapa hari saja lagi umat islam akan menyambut Aidilfitri. Kebiasaannya kita akan saling menziarahi sanak saudara untuk merapatkan lagi silaturrahim.


Amalan ziarah semata-mata untuk menghidupkan sunnah Rasulullah terlalu penting di dalam menarik rahmat Allah. Sebagaimana firmannya:

إن رحمة الله قريب من المحسنين (الأعراف – 56)

Maksudnya: sesungguhnya rahmat Allah hampir kepada orang yang melakukan kebaikan.

Adapun ziarah itu hendaklah tujuan utamanya untuk bercakap mengenai agama, iman, amal, dan maksud kehidupan sebagai hamba-hamba Allah. Ini adalah untuk membezakan diantara ziarah orang islam dengan ziarah orang kafir.

Berkata-kata tentang kebaikan adalah lebih baik daripada diam sahaja, dan diam adalah lebih baik daripda berkata-kata yang tidak baik.

Terdapat tiga golongan untuk diziarah:-

1- orang awam:

Kebanyakan orang islam, yang lalai dari tanggungjawab agama serta kebesaran kehidupan akhirat seolah-olah telah lama terpadam dalam sanubari mereka. Ziarah yang dilakukan semata-mata atas dasar memperingati antara satu sama lain tentang agama serta menghubungkan silaturahim dikalangan umat islam. Mengingati manusia tidak semestinya mengajar hukum hakam, tetapi mengingatkan mereka tentang perintah-perintah Allah yang terletak di atas bahu mereka yang perlu mereka laksanakan. Firman Allah dalam surah Az-Zariyat-55 bermaksud: dan tetaplah beri peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.

2- Alim Ulama’ dan orang Soleh:

Tujuannya untuk mendapat ilmu dan doa. Ziarah orang-orang soleh yang bukan ulama’ adalah untuk mendapat manfaat daripada pergaulan. ( nasihat & perbicaraan yang memberi kesan kerohaniaan yang berharga untuk kehidupan dunia dan alam akhirat)

3- Orang sakit: merupakan hak muslim ke atas muslim yang lain & mendapat doa malaikat.

Friday, September 14, 2007

HIKMAT MENGINGATI HARI AKHIRAT

Kepercayaan kepada hari akhirat itu menyebabkan hidup kita di dunia ini mempunyai suatu tujuan mulia serta cita-cita yang tinggi. Di sana ada suatu puncak yang hendak kita capai dengan sekuat tenaga yang ada pada diri kita. Tujuan utama ialah mengerjakan kebaikan, meninggalkan kemungakaran, dan segala bentuk kemaksiatan.

Untuk melaksanakan itu semua sudah tentulah perlu adanya pendorong semangat dari jiwanya sendiri yang mengajak supaya selalu melakukan kebaikan-kebaikan itu serta meninggalkan keburukan dan kejahatan. Pendorong semangat itu ialah memperbanyak ingatan kepada tuhan, memberikan peringatan kepada yang berbuat kesalahan, pandai memberikan gambaran serta perumpamaan yang pelbagai, serta tauladan dan pengajaran dari peristiwa yang pernah ada. Usaha ini penting agar tertanam kebaikan di dalam hati, terkesan di dalam jiwa, lebih merealisasikan tujuan yang hendak dicapai.

Dengan melaksanakan semua ini, maka setiap yang ingkar kepada perintah tuhan akan kembali dari kesalahannya, orang yang merasa keliru dapat membetulkan kekeliruannya sendiri dan setiap manusia akan mengarahkan tujuan amalannya yang tertinggi ke jalan yang nyata –nyata kebenarannya, sehingga ia tidak akan tersesat di jalan dan tidak pula tergelincir dalam kesalahan.