Thursday, October 4, 2007

AMALAN ZIARAH SESAMA ISLAM

Tinggal beberapa hari saja lagi umat islam akan menyambut Aidilfitri. Kebiasaannya kita akan saling menziarahi sanak saudara untuk merapatkan lagi silaturrahim.


Amalan ziarah semata-mata untuk menghidupkan sunnah Rasulullah terlalu penting di dalam menarik rahmat Allah. Sebagaimana firmannya:

إن رحمة الله قريب من المحسنين (الأعراف – 56)

Maksudnya: sesungguhnya rahmat Allah hampir kepada orang yang melakukan kebaikan.

Adapun ziarah itu hendaklah tujuan utamanya untuk bercakap mengenai agama, iman, amal, dan maksud kehidupan sebagai hamba-hamba Allah. Ini adalah untuk membezakan diantara ziarah orang islam dengan ziarah orang kafir.

Berkata-kata tentang kebaikan adalah lebih baik daripada diam sahaja, dan diam adalah lebih baik daripda berkata-kata yang tidak baik.

Terdapat tiga golongan untuk diziarah:-

1- orang awam:

Kebanyakan orang islam, yang lalai dari tanggungjawab agama serta kebesaran kehidupan akhirat seolah-olah telah lama terpadam dalam sanubari mereka. Ziarah yang dilakukan semata-mata atas dasar memperingati antara satu sama lain tentang agama serta menghubungkan silaturahim dikalangan umat islam. Mengingati manusia tidak semestinya mengajar hukum hakam, tetapi mengingatkan mereka tentang perintah-perintah Allah yang terletak di atas bahu mereka yang perlu mereka laksanakan. Firman Allah dalam surah Az-Zariyat-55 bermaksud: dan tetaplah beri peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.

2- Alim Ulama’ dan orang Soleh:

Tujuannya untuk mendapat ilmu dan doa. Ziarah orang-orang soleh yang bukan ulama’ adalah untuk mendapat manfaat daripada pergaulan. ( nasihat & perbicaraan yang memberi kesan kerohaniaan yang berharga untuk kehidupan dunia dan alam akhirat)

3- Orang sakit: merupakan hak muslim ke atas muslim yang lain & mendapat doa malaikat.